Antara kebaikan penggunaan komputer ialah kita dapat memudahkan komunikasi sesama manusia dalam era moden ini. Kita boleh berhubung dengan kawan-kawan atau anggota keluarga yang berada di tempat lain. Contohnya, kita boleh berkomunikasi dengan kawan yang berada di luar negara melalui e-mel, Facebook, MSN dan lain-lain. Hubungan erat antara satu sama lain juga terjalin.
Faedah yang kedua ialah kita dapat mencari maklumat dengan cepat. Dengan melayari Internet, kita boleh mencari maklumat dengan mudah. Oleh sebab itu, kita dapat menjimatkan masa dan juga dapat mengetahui apa-apa yang berlaku di dalam atau di luar negara.
Selain itu, komputer juga boleh digunakan memudahkan kerja-kerja yang kita lakukan setiap hari. Kita boleh menyelesaikan masalah dengan senang dan cepat. Sebagai contoh, kita boleh memproses dan menyimpan data dalam komputer. Oleh itu, kita boleh menggunakan komputer agar kerja cepat dan mudah diselesaikan.
Di samping itu, komputer juga memainkan peranan penting dalam bidang pendidikan. Penggunaan komputer menjadikan proses pembelajaran lebih menarik. Misalnya, guru-guru boleh menyediakan bahan pengajaran dengan menggunakan komputer supaya dapat menarik minat murid untuk lebih tekun terhadap pengajaran guru. Tambahan pula, pelajar-pelajar juga boleh mencari maklumat untuk membuat tugasan mereka.
Kesimpulannya, penggunaan komputer harus kita kuasai supaya tidak ketinggalan zaman. Penggunaan komputer telah memajukan lagi kehidupan manusia dan sudah menjadi suatu keperluan dalam kehidupan kita. Tanpa komputer, kita tidak boleh melakukan kerja-kerja kita dengan sempurna. Oleh sebab itu, kita haruslah menggunakan komputer agar kehidupan kita menjadi lebih mudah.















