Sudah terang lagi bersuluh bahawa membaca banyak kebaikannya. Definisi membaca adalah memerhati dengan teliti isi sesuatu yang bertulis. Amalan membaca buku, majalah, surat khabar, dan lain-lain banyak memberikan manfaat kepada kita. Semua lapisan masyarakat haruslah mengamalkan budaya membaca kerana membca jambatan ilmu.
Salah satu kebaikan membaca adalah dapat menimba ilmu pengetahuan. Dengan membaca bahan-bahan ilmiah, kita boleh menambahkan ilmu pengetahuan kita dalam pelbagai bidang seperti sejarah, sains, bahasa dan sebagainya. Secara tidak langsung, kita dapat meningkatkan penguasaan bahasa kita.
Faedah kedua yang boleh diperoleh melalui membaca ialah kita dapat memanfaatkan masa lapang kita. Dengan membaca, kita dapat mengelakkan diri daripada terlibat dengan gejala yang tidak sihat seperti menagih dadah, merokok, gengsterisme dan sebagainya.
Tambahan pula, murid yang banyak membaca akan menjadi orang yang berilmu. Orang yang berilmu akan lebih dihormati dan dipandang tinggi dalam masyarakat berbanding dengan orang biasa. Bagi murid-murid pula, murid yang sering membaca buku-buku pelajaran dapat menjawab soalan peperiksaan dengan lebih baik. Oleh sebab itu, kita haruslah mengamalkan budaya membaca agar kita tidak menjadi seperti katak di bawah tempurung.
Di samping itu, pemikiran kita juga akan menjadi lebih matang dan tekanan dapat dihilangkan. Kita dapat mengambil iktibar yang telah kita baca dan menjadikannya sebagai teladan. Kita juga akan menambahkan pengalaman kita. Dengan membaca buku cerita, novel dan majalah pula, kita dapat melupakan seketika masalah di rumah, di sekolah atau di pejabat.
Kesimpulannya, tabiat membaca ialah satu amalan yang mulia dan perlu dipupuk sejak kecil lagi. Bak kata pepatah, "melentur buluh biarlah daripada rebungnya". Budaya membaca haruslah diamalkan oleh masyarakat untuk melahirkan insan yang berilmu dan bijaksana serta memajukan negara.

No comments:
Post a Comment